Keratan Akhbar IGROW
UTUSAN MALAYSIA, 27 MEI 2013
IMPIAN JUTAWAN PELATIH iGROW
Impian menjadi jutawan tertanam dalam jiwa pelatih iGROW. Manusia sering menganggap bahawa orang muda adalah golongan yang penuh dengan cita-cita, inspirasi dan idealisme. Sifat semula jadi dan jiwa golongan muda sememangnya begitu, terutama dalam memburu cita-cita kehidupan.
Bagi para pelatih Institut Agro Usahawan ( iGROW), keinginan untuk menjadi jutawan tani pada masa hadapan sememangnya melekat dalam diri mereka sejak hari pertama melangkah ke pusat latihan itu.
Ini berikutan langkah yang diambil oleh institut itu dengan memberi penekanan dan pengisian latihan kepada misi melahirkan usahawan tani muda sebaik sahaja tamat latihan.
Selain menitikberatkan aspek kemahiran yang terkandung dalam modul Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), pendedahan terhadap disiplin dan suasana persekitaran perniagaan pertanian sebenar sentiasa mengimbangi rutin harian mereka.
Bagi pelatih dari Keningau Sabah, Rizal Mohd. Hassan Tiau, dia menaruh harapan supaya menjadi jutawan satu hari.
Rizal ingin mengubah nasib hidup memandangkan dia bukan sahaja datang dari keluarga petani tetapi juga tinggal di daerah yang menjadi sebahagian zon pertanian penting di negeri itu.
"Saya sering melihat beberapa usahawan tani di Keningau yang berstatus jutawan hasil daripada usaha pertanian.
"Walaupun kehidupan mereka kelihatan seperti kebiasaan masyarakat kampung lain, mereka sebenarnya bergelar jutawan atau kaya-raya dengan menjadi usahawan tani yang serius serta berdisiplin", katanya.
Dia sanggup terbang ke Perak dari Sabah kerana yakin konsep latihan seperti di tawarkan iGROW mempunyai visi dan misi yang berbeza dengan institut latihan kemahiran awam dan swasta lain terutama dalam bidang pertanian.
Sementara itu, rakannya, Mohd. Kamarul Asraff Ahmad dari Kuantan, Pahang menganggap hasrat menjadi jutawan tani itu bukanlah perkara yang mudah tetapi pencapaian seumpama itu bukan mustahil untuk dikecapi suatu hari nanti.
"Setiap kejayaan bermula dengan cita-cita atau angan-angan. Tetapi inspirasi sedemikian sangat perlu untuk menyuntik semangat kami setiap hari.
"Apatah lagi cabaran kami dalam sektor pertanian sangat mencabar berbanding dengan kerjaya dalam bidang kemahiran lain," ujar Mohd. Kamarul Asraff.
Dia yang sebelum ini pernah memasuki sekolah teknik pertanian di Pahang bertekad mengusahakan pertanian sendiri sesudah tamat latihan di kampung.
"Kelebihan kami di sini ialah mereka yang mahu berniaga sudah diatur dan diasuh sejak dalam latihan lagi", ujarnya.
Pendedahan kisah kejayaan dan pengalaman graduan tani yang pernah dibimbing oleh pihak pengurusan iGROW menjadikan pelatih lebih memahami realiti dunia keusahawanan.
Sebelum menuju status jutawan, mereka perlu mengharungi detik cabaran sebagai usahawan tani, bermula dengan saiz kecil hingga berskala besar.
Namun begitu, pelatih dari Sarawak , Muhammad Nazeem Aini pula banyak mengambil iktibar daripada kisah-kisah usahawan tani muda yang pernah dihasilkan oleh iGROW di beberapa institusi sebelum ini.
"Kami agak bernasib baik kerana terdapat beberapa kisah kejayaan dalam program MyAgrosis Agrobank yang dibimbing sendiri oleh Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek.
"Kami difahamkan, peminjam dana MyAgrosis Agrobank itu adalah antara kumpulan yang paling ramai di Malaysia", katanya.
Oleh itu, Muhammad Nazeem berpendapat peluang menjadi usahawan sudah memang menunggu tetapi terpulang kepada setiap graduan untuk mengusahakan secara serius dan berani hingga mampu bergelar jutawan tani.
Maklumat lanjut hubungi Azri Zaher Azmi 0124842144.
UTUSAN MALAYSIA, 20 MEI 2013
JIHAD EKONOMI
Nordin sentiasa memantau perkembangan graduan tani di bawah program MyAgrosis.
NAMA beliau dengan latihan kemahiran vokasional serta pembangunan usahawan memang sudah sinonim.
Dari Perlis hingga ke Sabah, nama Nordin Abdul Malek, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan ( IGROW) bukanlah begitu asing kerana komitmen serta perjuangannya yang konsisten dalam meningkatkan keusahawanan di kalangan generasi muda, golongan miskin dan masyarakat petani di luar bandar.
Bagi Nordin, tiada jalan penyelesaian terbaik untuk meningkatkan ekonomi bumiputera melainkan mereka perlu menceburi sektor perniagaan secara serius.
Beliau berpegang kepada hadis Rasulullah yang mengatakan bahawa sembilan daripada 10 punca rezeki itu datangnya daripada perniagaan.
Janji Allah dan Rasulnya sudah jelas bahawa kekuatan ekonomi itu sangat bergantung kepada perniagaan tetapi masyarakat kita masih bersikap retorik dalam hal memperkasakan ekonomi yang berlandaskan tuntutan agama" katanya.
Walaupun mengakui banyak inisiatif yang cuba dilakukan oleh kerajaan, namun beliau yang sudah berpengalaman dalam program pembangunan usahawan selama 17 tahun turut berasakan bahawa masyarakat Bumiputera tidak boleh bergantung kepada pendekatan kerajaan semata-mata.
Ini kerana proses tersebut akan melambatkan usaha meningkatkan pencapaian Bumiputera dalam ekonomi.
Kita hargai usaha agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan isu ekonomi bumiputera tetapi sebahagiannya suka melaksanakan dasar sekadar hangat-hangat tahi ayam. Kadangkala cara NGO berjuang juga penuh dengan retorik," katanya.
Beliau percaya bahawa jika seluruh umat Melayu di Malaysia bermula dengan pemimpin, pegawai kerajaan, NGO dan usahawan sendiri konsisten dengan fokus tindakan yang strategik, proses mempertingkatkan keupayaan usahawan bumiputera agar setanding dengan bukan Bumiputera akan dicapai dengan pantas.
Menyedari hakikat itu, beliau telah bertekad untuk melakukan perubahan dengan memberikan penekanan kepada pembangunan kemahiran teknikal dan vokasional, jati diri dan keusahawanan.
Pada pandangan Nordin, kombinasi ketiga-tiga elemen itulah yang menjadi kunci kejayaan kaum lain menguasai ekonomi di Malaysia.
Kita tidak boleh lagi melaksanakan program pembangunan usahawan yang bersifat syok sendiri kerana akhirnya semua yang diusahakan akan gagal, membazirkan perbelanjaan dan lebih parah lagi bila kelemahan itu dilihat sebagai impian retorik," tegas beliau.
Menurut Nordin, kemahiran adalah faktor utama kejayaan seseorang usahawan. Mengambil contoh diri beliau sendiri yang berlatar belakangkan bidang pendidikan, survival beliau hingga mampu sampai ke tahap hari ini adalah disebabkan oleh kemahirannya dalam bidang pendidikan.
Yakin dengan pendirian tersebut, Nordin telah melahirkan ramai usahawan berasaskan teknikal dan vokasional sejak tahun 1996.
Antara resipi lain yang menjadikan program keusahawanan beliau mencapai anjakan berganda ialah penekanan kepada aktiviti post latihan iaitu bimbingan usahawan dan pemantauan.
Kini beliau berbangga kerana telah melahirkan ramai usahawan muda sektor pertanian yang sekali gus dapat memajukan kampung halaman masing-masing.
Malah, dalam program 1Azam, beliau bukan sahaja dapat meningkat pendapatan para pesertanya tetapi juga melahirkan usahawan yang boleh dibanggakan kerajaan dan masyarakat terutama di negeri Sabah.
Pada masa ini, beliau sedang melaksanakan program berbentuk komuniti usahawan yang telah dimulakan di Sabah sebagai projek perintis. Antaranya ialah Komuniti 1Azam Karambunai dan Keningau serta Kelab Sabah Young Agro Businessman (Sabah YAB) yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Hasil kejayaan konsep komuniti tersebut telah mengilhamkan Nordin untuk menjayakan program My Kampung, My Future di Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak. Selain menjadikan iGROW sebagai katalis di kampung berkenaan, beliau telah menyusun strategi perlaksanaan untuk generasi muda memajukan pembangunan kampung.
Sokongan kuat oleh kerajaan melalui pendekatan Strategi Lautan biru Kebangsaan (NBOS) yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa di Mukim Pulau Tiga baru-baru ini menguatkan lagi semangat Nordin untuk menjadikan Pulau Tiga sebagai model komuniti usahawan kampung generasi baru bertaraf dunia.
Pencapaian kami setakat ini membuktikan bahawa bukanlah mustahil untuk kita mempercepatkan proses pencapaian dan keupayaan Bumiputera dalam ekonomi tetapi jihad tersebut hendaklah dilakukan dengan penuh iltizam, ikhlas dan sabar menghadapi segala dugaan. Ini bukannya retorik," katanya.
UTUSAN MALAYSIA, 13 MEI 2013
LATIHAN KEMAHIRAN PERTANIAN
Cubaan iGROW mempelopori latihan kemahiran berasaskan pembiayaan pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia ternyata berbaloi dan mendapat sambutan menggalakkan.
Ini berdasarkan kepada semakin ramai pelatih mengikuti kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang tanaman makanan di pusat latihan tersebut di Pulau Tiga, Kampong Gajah, Perak.
Biasanya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan ditawarkan mengikuti kursus SKM di institusi latihan kemahiran awam (ILKA) atau institu latihan kemahiran swasta (ILKS) secara percuma (biasiswa).
Bagaimanapun, tetapi peluang yang terhad itu tidak menghalang ramai belia yang bertekad untuk menceburi sektor pertanian di iGROW sungguhpun mereka terpaksa mendapatkan pinjaman latihan.
Bagi Muhammad Syafiq Anuar, dia pernah memohon mengikuti latihan di tempat lain sebelum ini dengan harapan mendapat tajaan percuma.
Namun, setelah tiada tawaran diterima sekian lama, peluang latihan iGROW diterima dengan hati yang gembira, biarpun beliau perlu mengambil pinjaman PTPK.
"Saya amat bersyukur kerana kemudahan pinjaman PTPK telah merealisasikan hasrat kami untuk mengikuti kursus pertanian tanpa mengharapkan lagi pembiayaan percuma", katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.
Setelah gagal mendapat tawaran percuma di ILKA dan ILKS, beliau hampir kecewa tetapi tawaran latihan di iGROW bersama pakej pembiayaan pinjaman PTPK menguatkan semangatnya untuk tidak menoleh ke belakang lagi.
Rakannya Mohamad Fikri Kasim, dari Kota Bharu Kelantan berpendapat bahawa latihan berpakej yang ditawarkan oleh iGROW telah menarik minatnya kerana jarang sekali wujud tawaran sedemikian.
Pada mulanya, dia berasa agak sangsi terhadap pakej berkenaan tetapi setelah diberi penjelasan menerusi kuliah dan melihat sendiri konsep kemudahan iGROW, timbul keyakinan bahawa semua itu bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dijayakan.
"Konsep latihan dan kemudahan yang disediakan benar-benar memenuhi cita rasa pertanian generasi baru dan bersifat futuristik kerana segala kemudahan dan peralatan di tapak amali merupakan tanaman integrasi yang mengguna pakai keluasan tanah secara optimum" ujar Mohamad Fikri.
Menurutnya, sistem pertanian yang ringkas tetapi bersepadu telah membuka mata para pelatih tentang potensi sektor pertanian untuk menjana pendapatan secara optimum yang mampu melahirkan petani berpendapatan tinggi pada masa hadapan.
"Sekarang kami telah faham bahawa kaedah pertanian secara integrasi membolehkan kami mempunyai pelbagai aktiviti pertanian dalam satu kawasan yang terhad dan seterusnya meningkatkan pendapatan petani. Pada saya, inilah satu inovasi baru dalam memajukan pertanian di kampung," tambah Fikri lagi.
Kombinasi kemahiran ini meyakinkan Mohamad Hafifi Noorzain bahawa tindakannya mengikuti SKM di iGROW adalah tepat dan berbaloi
Ini kerana, dia turut diajar pelbagai kemahiran lain yang menjadi penentu kejayaan mereka sebagai usahawan bila tamat latihan nanti.
"Kaedah 5 dalam 1 ini membolehkan saya memantapkan perniagaan dalam pertanian pada masa hadapan.
"Semua contoh kemudahan disediakan di tapak Kompleks Warisan iGROW di Mukim Pulau Tiga, Kampong Gajah, Perak boleh dilihat dengan mata kasar.
"Ini membolehkan kami melaksanakan aktiviti yang sama bila pulang ke kampung halaman masing-masing nanti," kata beliau yang berasal dari Pulau Pinang.
Ketua Pegawai Eksekutif iGROW, Azri Zahier Azmi berkata, minat yang tinggi dalam sektor pertanian memperlihatkan trend belajar dengan pembiayaan pinjaman seperti PTPK mula diterima oleh belia demi mencapai cita-cita mereka.
"Kami sangat berbangga dengan kepercayaan yang diberikan PTPK yang turut menyumbang kepada jumlah kemasukan pelatih yang semakin meningkat ke iGROW," ulas beliau.
nSebarang pertanyaan berkaitan latihan Sijil Kemahiran Malaysia di iGROW sila hubungi Azri Zahier di talian 012-4842144.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130513/ag_02/Latihan-kemahiran-pertanian#ixzz2TFJ1BETI
© Utusan Melayu (M) Bhd
iGROW tawar SKM pertanian
Latihan amali tanaman makanan yang ditawarkan di iGrow di Kampung Gajah, Perak.
DUNIA dijangka akan menghadapi krisis makanan pada tahun 2050 walaupun sesetengah pihak meramalkan bahawa bahana itu akan mula dirasai seawal tahun 2030.
Ancaman yang menakutkan itu dianggap faktor yang boleh mengancam keselamatan sesebuah negara selepas perang.
Malaysia juga tidak akan terkecuali kerana isu ini adalah krisis sejagat akibat perubahan cuaca dunia, pertambahan penduduk dunia serta keluasan tanah pertanian subur yang semakin berkurangan.
Menyedari kepentingan isu tersebut, Pelan Strategik Hala tuju Latihan Agro Makanan Negara (2012-2020) telah disediakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menerusi Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).
Antara lain, blue print tersebut telah mensasarkan unjuran output tenaga mahir profesional sektor pertanian sepanjang tempoh tersebut seramai 107,000 orang.
Daripada jumlah tersebut, hampir 40,000 pelatih disasarkan kepada lulusan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) di institusi latihan awam, swasta dan kolej vokasional (Kementerian Pelajaran).
Bakinya pula adalah pengajian di peringkat diploma dan ijazah di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Memandangkan jangka masa menuju tahun 2020 adalah amat singkat, peranan institusi latihan kemahiran pertanian swasta seperti Institut Agro Usahawan (iGROW) di Kampung Gajah, Perak adalah sangat penting sebagai pelengkap kepada keperluan latihan pertanian negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif iGROW, Azri Zahir Azmi, kursus yang ditawarkan oleh iGROW adalah menepati kehendak Pelan Strategik Halatuju Latihan Agro Makanan Negara (PSHLAMN).
Katanya pengurusan tertinggi iGROW telah membuat kajian mengenainya menerusi pengalaman hampir 10 tahun dalam latihan pertanian di negara ini.
Perbandingan juga turut dibuat di peringkat antarabangsa bagi memastikan iGROW dapat melahirkan graduan generasi baru iaitu golongan muda sebagai barisan hadapan dan amalan pertanian moden masa depan.
Azri Zahir berkata, sungguhpun baru ditubuhkan tetapi pengalaman dan hasil dapatan kajian pihaknya selama ini telah membolehkan pendekatan latihan diperkenalkan, yang menjamin graduan benar-benar mahir (kompeten) tetapi juga bersedia sebagai pemain utama sektor pertanian mempunyai masa hadapan
Pengalaman kami membuktikan bahawa faktor usia pusat latihan atau saiz kampus bukan faktor mutlak keberhasilan graduan.
Sebaliknya, sejauh manakah pihak pengurusan mampu menerapkan nilai kemahiran serta pembentukan sikap graduan dalam suasana pertanian sebenar.
Kelainan iGROW ialah memberi penekanan kepada suasana sebenar aktiviti pertanian yang lazimnya dijalankan di luar bandar sama ada di kampung atau kawasan pedalaman dengan cabaran-cabaran tersendiri.
Ini menjadikan mereka memahami realiti kehidupan sebagai petani dan berazam untuk menjadi petani moden yang berjaya pada masa hadapan," tambah beliau.
Bagi memastikan semua graduan dapat merasai manfaat dan potensi pertanian semaksimum mungkin, pakej latihan merangkumi bidang pengkhususan (SKM Tanaman Makanan Tahap 1 dan 2) dan bidang tambahan wajib iaitu asas ruminan, akuakultur, inap ladang serta keusahawanan.
Kesemua aktiviti tersebut dijalankan dalam satu kawasan integrasi yang menggabungkan pertanian, penternakan dan pelancongan dalam satu kawasan yang dipanggil Kompleks Warisan Pertanian iGROW.
Azri Zahir turut menjelaskan bahawa SKM yang ditawarkan adalah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Modul latihan berasaskan Standard Latihan Kemahiran Kebangsaan (NOSS) yang digubal oleh NATC.
Katanya juga, belia kini tiada lagi alasan untuk mengikuti latihan di iGROW kerana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), Kementerian Sumber Manusia telah menyediakan pinjaman penuh yang merangkumi yuran latihan, penginapan dan makan-minum selama setahun.
Sejak kebelakangan ini, PTPK mula memberikan perhatian serius untuk membiayai latihan pertanian kerana bidang ini adalah antara keperluan utama negara kini dan masa akan datang," tegas Azri Zahir.
Kemudi iGROW diterajui oleh tokoh latihan kemahiran pertanian swasta tempatan, Nordin Abdul Malek selaku Pengerusi Eksekutif iGROW yang juga merupakan Ahli Tetap Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC).
Dalam tempoh lima tahun akan datang, kami berhasrat untuk menaik taraf iGROW sebagai universiti kemahiran pertanian swasta bertaraf antarabangsa.
Segala perancangan dan gerak kerja sudah diatur ke arah itu untuk menjadikan Malaysia destinasi pendidikan kemahiran tinggi pertanian di peringkat antarabangsa," tambah Azri lagi.
Buat masa ini difahamkan beberapa kerajaan negeri sudah menawarkan hasrat supaya kampus utama dibina di negeri mereka dan pilihan terbaik akan dibuat oleh iGROW dalam masa terdekat.
Kemudahan Kompleks Warisan Pertanian iGROW
l Kemudahan latihan seperti asrama, surau, dewan makan serta dewan perhimpunan turut disediakan untuk keperluan pelatih.
l Pusat Inkubator Pemprosesan Makanan Jabatan Pertanian Kg. Gajah yang telah dibenarkan untuk digunapakai oleh pihak iGROW sebagai pusat pengeluaran makanan sejuk beku untuk pendedahan keusahawanan di kalangan pelatih.
Sebarang pertanyaan sila hubungi Azri Zahier Azmi di talian 012-4842144 atau Amira Hamran 019-7635592.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130422/ag_01/iGROW-tawar-SKM-pertanian#ixzz2TFI5yJxk
© Utusan Melayu (M) Bhd
UTUSAN MALAYSIA, 15 APRIL 2013
Jaminan jadi usahawan
Latihan amalan pertanian yang memenuhi piawaian dan kehendak pasaran.
PENGALAMAN lebih 17 tahun dalam latihan kemahiran terutama sektor pertanian telah memberikan inspirasi kepada Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (iGROW), Nordin Abdul Malek untuk menjayakan misi melahirkan usahawan tani generasi baru.
Kejayaan beliau melahirkan ramai usahawan tani muda di seluruh negara telah diperakui juga oleh banyak pihak sebagai satu anjakan berganda(quantum leaps).
Kini fokus beliau bukan sahaja mahu melahirkan usahawan baru tetapi pelan melonjakkan pencapaian usahawan tani muda kepada usahawan berpendapatan tinggi dan seterusnya bergelar jutawan.
Oleh itu, beliau telah menubuhkan sebuah pusat latihan pertanian yang dikenali sebagai iGROW.
Modul latihan dan amali iGROW berteraskan keusahawanan sepenuhnya bagi memastikan semua graduan yang dilahirkan bukan hanya berkebolehan dalam bidang teknikal pertanian tetapi juga akan benar-benar bersedia untuk terus menjadi usahawan sebaik sahaja tamat latihan.
"Sudah tiba masanya, kita memberikan perhatian serius kepada usaha memastikan semua graduan pertanian menjadi usahawan dengan mengusahakan pertanian secara komersial dan berskala besar, " katanya.
Beliau yang juga Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) berkata, walaupun pelbagai inisiatif dan insentif disediakan kerajaan tetapi hasilan masih belum begitu membanggakan.
"Ini kerana bilangan usahawan di kalangan graduan pertanian masih rendah, apatah lagi untuk dibanggakan sebagai pengeluar bersaiz besar,'' ujarnya.
Namun, beliau berbangga kerana berjaya menghasilkan ramai usahawan tani muda di kalangan graduan beliau di salah satu pusat latihan pertanian swasta sebelum ini.
Kejayaan terbaru beliau yang terbukti hebat ialah menjayakan program MyAgrosis.
Ini kerana dana MyAgrosis di Agrobank kebanyakannya dimanfaatkan graduan institut milik beliau sebagai kumpulan peminjam tertinggi di negara ini berbanding institusi lain termasuk pusat latihan pertanian awam sendiri.
Selain itu, konsep latihan iGROW juga bersifat pembangunan pertanian di kampung dan desa iaitu dengan cara memanfaatkan ruang dan potensi pertanian di kampung-kampung.
Walaupun begitu, pendekatan dan amalan pertanian adalah berteraskan ilmu, kemahiran, teknologi serta inovasi baru dan segar.
"Konsep ladang iGROW sendiri menggabungkan pelbagai sumber pertanian cara baru di dalam satu kawasan iaitu dusun buah-buahan, tanaman sayur-sayuran, akuakultur, ladang kelapa sawit, ternakan ruminan dan pelancongan inap ladang (moden dan klasik)", ujar Nordin lagi.
Berbeza dengan pusat latihan biasa yang selalunya menempatkan keseluruhan kompleks (kediaman dan ladang) dalam satu kawasan, Nordin pula membahagikan iGROW kepada kawasan kediaman pelatih, tapak amali dan ladang projek berskala besar secara berasingan di sekitar Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak.
"Kami juga ingin memastikan proses latihan dan keusahawanan ini, akan memberikan impak serta limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat terutama dalam memajukan tanah terbiar di kampung-kampung," tegas Nordin.
Kehadiran iGROW memberi nilai tambah kepada pembangunan Mukim Pulau Tiga yang telah diumumkan sebagai perintis program My Kampung My Future oleh kerajaan pada hujung tahun lalu.
Malah, keserasiannya dengan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, membolehkan beliau mendapat kerjasama pelbagai agensi berkaitan terutama Agrobank.
Pakej latihan bersepadu ini sangat penting sebagai persediaan untuk memastikan keberhasilan yang tinggi dalam usaha beliau melahirkan usahawan tani di kalangan semua graduan beliau.
Sungguhpun iGROW berkonsepkan 'Kolej Latihan Dalam Kampung', Nordin yakin pengalaman dan kejayaan beliau selama ini melahirkan golongan muda sebagai usahawan barisan hadapan pertanian, membolehkan beliau menggunakan resipi baru untuk melahirkan usahawan tani generasi baru bertaraf dunia.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130415/ag_02/Jaminan-jadi-usahawan#ixzz2TFIdztBc
© Utusan Melayu (M) Bhd