English Songs

Thursday, 9 October 2014

Bagaimana Membangunkan Budaya Keusahawanan




BAGAIMANA MEMBANGUNKAN BUDAYA KEUSAHAWANAN


2.1 Pembudayaan Keusahawanan melalui Sistem Pendidikan Negara 

Proses pembudayaan keusahawanan merupakan satu proses jangka panjang dan memerlukan usaha berterusan. Di negara kita proses pembudayaan keusahawanan telah menjadi satu tumpuan utama dan ianya telah dimulakan dengan melibatkan golongan pelajar di peringkat sekolah rendah, menengah, pelajar di institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum. Memandangkan betapa pentingnya bidang keusahawanan ini dan juga selaras dengan matlamat kerajaan yang berhasrat menyusun semula masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera, maka kerajaan telah merangka strategi untuk membentuk budaya usahawan yang lebih berkesan dan berstruktur. 

Pembudayaan keusahawan ini dapat dibahagikan kepada program yang berbentuk secara langsung atau tidak langsung dan dijalankan oleh pelbagai pihak. Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan Program Pembudayaan Keusahawanan melalui kurikulum sekolah. Beberapa sukatan pelajaran berkaitan dengan keusahawanan seperti Prinsip Akaun, Perdagangan, Pengajian Perniagaan, 
Kemahiran Hidup, Matapelajaran Vokasional, Ekonomi Asas, Ekonomi Rumahtangga, dan sebagainya telah dibentuk untuk tujuan berkenaan. (Abdul Said, 2012). Manakala Institut Keusahawanan Negara, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula memperkenalkan Program Usahawan Muda (PUM) kepada pelajar sekolah menengah. Ia bertujuan memberikan pendedahan dan pengalaman “hands-on” kepada pelajar sekolah mengenai sistem operasi dan pembubaran syarikat berdasarkan model koperasi. Ia juga meliputi Simposium Keusahawanan, Konvensyen PUM dan Kem Keusahawanan [Program Usahawan Muda (PUM), 2012]. 

2.2 Pembudayaan Keusahawanan di IPT 

Elemen terpenting untuk memupuk sesuatu budaya itu adalah bermula dari peringkat awal dan ia diterajui oleh sistem pendidikan negara. Maka tidak hairanlah mengapa kerajaan telah memperkenalkan unsur amalan keusahawanan dalam kurikulum yang bertujuan menyemai dan memupuk budaya keusahawanan. Pendidikan formal dalam bidang keusahawanan melahirkan generasi baharu usahawan yang dapat memajukan usahawan dan negara. Di dalam Pelan Strategik Transformasi Pendidikan Tinggi Negara, Kementerian Pengajian Tinggi, kerajaan berhasrat melihat institusi pengajian tinggi negara memainkan peranan penting dalam merangsang perubahan negara ke arah K-ekonomi atau ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam konteks ini, ekonomi kita haruslah berasaskan kepada inovasi dan bukan lagi berasaskan pelaburan modal semata-mata. Inovasi adalah merupakan salah satu ciri penting keusahawanan. Hanya dengan pengetahuan dan inovasi Malaysia mampu bersaing dan berjaya di arena antarabangsa. Program pembudayaan keusahawanan di kalangan pelajar pengajian tinggi bermula sejak tahun 1989 melalui Program Pembangunan Usaha Siswa yang bertujuan mendedahkan golongan siswa kepada asas-asas keusahawanan menerusi seminar atau bengkel. Program ini terus diperkembangkan kepada 10 buah IPTA pada tahun 1995. Dua lagi program baru telah perkenalkan mulai 2001 iaitu Latihan Keusahawanan Siswa yang memberi panduan dari aspek peluang, kaedah dan perancangan perniagaan serta Kursus Asas Keusahawanan Siswa yang disasar kepada siswa tahun akhir. Sewaktu berucap di Majlis Perasmian Karnival Usahawan IPTA di Johor Baharu pada 23 Disember 2004, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada ketika itu memaklumkan hasil pelaksanaan ketiga-tiga program di atas telah memberi pendedahan dan latihan keusahawanan kepada 37,191 orang mahasiswa. Sebahagian besarnya diberi pendedahan keusahawanan menerusi Program Pembangunan Usaha Siswazah iaitu melibatkan seramai 33,035 pelajar, diikuti dengan Latihan Keusahawanan Siswa seramai 3,215 dan baki 941 orang lagi pelajar mengikuti Kursus Asas Keusahawanan Siswa. (Mohamed Khaled, 2007). 


Pada tahun 2004 satu lagi program keusahawanan turut diperkenalkan di kampus iaitu ‘Student In Free Enterprise’ atau SIFE1. Program ini telah membuka peluang kepada pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi untuk menyertai pertandingan keusahawanan pelajar di peringkat antarabangsa. Persada ini mengaktifkan golongan siswa untuk berfikir secara global dalam usaha untuk menerobos pasaran yang lebih besar dan berpeluang menikmati kekayaan yang terdapat di peringkat dunia. Menerusi program SIFE mahasiswa dilatih untuk merancang dan mengendalikan aktiviti yang memiliki elemen keusahawanan yang diuruskan secara berkumpulan. Program ini dilaksana untuk satu jangkamasa tertentu dan yang lebih pentingnya adalah kumpulan mahasiswa tersebut berpeluang berurusan dan membina rangkaian kerjasama dengan sektor korporat. Program ini seterusnya diperkasakan menerusi geran daripada yayasan atau pihak swasta. 

Beberapa anugerah juga telah diperkenalkan seperti anugerah etika keusahawanan yang tinggi dan anugerah kepada syarikat yang berjaya menghasilkan pelan penjimatan kos perniagaan. SIFE juga mempertingkatkan keberkesanan program 'intership’, menawarkan biasiswa untuk pelajar-pelajar yang menang dan 'special attachment’ selama beberapa bulan di universiti luar negara di mana pelajar-pelajar tersebut berkongsi pengalaman bersama usahawan yang berjaya sebagai mentor. Senario ini merupakan sesuatu yang amat bernilai untuk mereka membina 'networking’ bukan sahaja sesama mereka tetapi juga dengan rakan-rakan 'internship’ dari negara lain yang mengikuti program tersebut (Mohamed Khaled, 2007). 

No comments:

Post a Comment