English Songs

Thursday, 9 October 2014

Budaya Keusahawanan



BUDAYA KEUSAHAWANAN

Budaya keusahawanan ialah sifat-sifat positif yang dimiliki oleh seseorang individu seperti tabah, cekal dan sentiasa bersemangat. Sifat-sifat keusahawanan juga boleh menjadi modal dan aset untuk berniaga dan boleh meyakinkan orang lain. Budaya keusahawanan perlu dipupuk bermula daripada peringkat sekolah melalui program-program keusahawanan yang dijalankan oleh pelajar dan dibimbing oleh guru-guru yang berpengalaman. Budaya ini juga perlu dipupuk pada peringkat IPT dengan menawarkan kursus, program, seminar, atau aktiviti kepada mahasiswa supaya dapat memupuk minat dan mendorong mereka untuk menceburi bidang keusahawanan. Pembudayaan ini penting dan perlu disemai di kalangan belia terutamanya golongan Bumiputera supaya mereka tidak boleh mengharapkan bekerja di sektor kerajaan dan bantuan kerajaan semata-mata. Mereka perlulah lebih berdikari untuk menceburi bidang lain seperti bidang perniagaan ataupun keusahawanan.

Pembudayaan keusahawanan akan melahirkan usahawan yang kreatif dalam mencari jalan penyelesaian terhadap sebarang permasalahan yang dihadapi. Oleh itu, usahawan perlu sensitif dan sedia bertanggungjawab terhadap kesan yang akan diterima oleh masyarakat akibat daripada kegiatan keusahawanan yang dijalankan. Di samping itu, melalui pembudayaan keusahawanan akan membolehkan usahawan mengemblengkan serta memanfaatkan potensi, reputasi dan sumber-sumber yang ada untuk manfaat diri sendiri, perniagaan, pelanggan dan juga masyarakat keseluruhannya. 

Di bawah ini,saya lampirkan 2 artikel tentang budaya keusahawanan di Malaysia:

Lahirkan ramai usahawan siswazah



Bulan lalu ketika penulis berada di kota London, media massa negara tersebut melaporkan Universiti College London (UCL) telah dinobatkan sebagai universiti yang paling tinggi kadar kebolehpasaran pelajar di United Kingdom.

Kadar mula bekerja pelajar UCL selepas enam bulan pertama menamatkan pengajian ialah 94 peratus diikuti dengan Universiti Oxford (92 peratus) dan Universiti Cambridge (91 peratus).

Menariknya, di media British juga pada hari yang sama melaporkan kerisauan dan komen oleh CEO British Telecom dan Pengerusi Tesco berkaitan sistem pendidikan tinggi England yang gagal melahirkan lebih ramai usahawan muda di kalangan pelajar universiti.

Antara yang disentuh dua tokoh ini ialah perlunya konsep keusahawanan diberikan penekanan dalam sistem pendidikan tinggi agar pelajar pusat pengajian tinggi bersedia untuk memulakan kerjaya sebagai usahawan selari dengan keperluan pasaran dan perancangan negara.

Ironi juga bila sebuah negara maju yang memiliki antara universiti terbaik di dunia masih tidak berpuas hati dengan tahap kualiti pendidikan tinggi mereka. Semangat daya saing yang tinggi jelas tergambar melalui komen dua tokoh perniagaan tersebut.

Dilaporkan untuk tahun 2009, United Kingdom berada di kedudukan kelapan dan terakhir dari segi kualiti hidup di kalangan negara di Eropah. Oleh kerana pendidikan tinggi adalah asas kepada peningkatan kualiti hidup, tidak sukar untuk difahami mengapa isu ini diketengahkan oleh media negara tersebut.

Kualiti hidup di Perancis dan Sepanyol berada di tempat pertama dan kedua terbaik di kalangan negara di Eropah.

Kita perlu melihat situasi ini sebagai isyarat untuk segera bertungkus-lumus meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara. Malaysia sebagai antara negara yang paling berjaya di kalangan negara membangun sedang berhadapan dengan persaingan yang sengit khususnya daripada Singapura, Vietnam dan negara-negara di Asia Barat. Tidak terkecuali China dan negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang semakin berjaya membuka pasaran mereka.

Pembukaan pasaran bermaksud persaingan akan menjadi lebih hebat. Kehendak dan keperluan majikan terhadap sektor pekerjaan menjadi semakin sengit. Jika mengeluarkan barangan, tuntutan kualiti pengeluaran serta penguasaan teknologi menjadi semakin tinggi. Pasaran baru ini akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada para graduan negara ini.

Malangnya tahap pengangguran mahasiswa di negara ini masih tinggi. Setakat ini tiada laporan rasmi dikeluarkan oleh pihak kerajaan berkaitan kadar pengangguran mahasiswa. Laporan media sekadar menganggarkan sekitar lebih lima puluh ribu mahasiswa masih menganggur selepas tamat pengajian mereka. Makna pengangguran menjurus kepada kumpulan mahasiswa yang tiada pekerjaan yang tetap.

Mungkin ini bukan masalah pihak universiti kerana telah melengkapkan tanggungjawabnya apabila seseorang mahasiswa menamatkan pengajian mereka. Tinggal lagi apabila mahasiswa keluaran IPT gagal mempunyai pekerjaan tetap, pihak universiti perlu juga melihat secara serius program pengajian yang ditawarkan.

Seolah-olah ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian seperti gagal dimanfaatkan oleh mahasiswa untuk memasuki alam pekerjaan. Sama ada ilmu pengajian itu sendiri yang tiada nilai untuk kerjaya atau mahasiswa itu sendiri yang dihasilkan tidak cukup kompetitif, kita masih boleh sahaja mendebatnya.

Apa yang pasti dan perlu segera dilaksanakan oleh pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi ialah bertindak membuka ruang yang lebih kepada mahasiswa. Satu ketika dulu, Kementerian Pengajian Tinggi begitu bersungguh menguar-uarkan program kemahiran insaniah, kompetensi generik atau nama lain yang lebih sinonim ialah soft skills.

Malangnya usaha ini nampaknya semakin tenggelam di IPTA tempatan. Tujuan soft skills ini diterapkan kepada pelajar agar nilai kebolehpasaran atau kebolehdapatan pekerjaan menjadi lebih tinggi di kalangan mahasiswa IPT. Soalnya selepas program ini dilaksanakan pun kadar kebolehpasaran masih dibelenggu dengan kadar pengangguran yang semakin meningkat.

Oleh itu, pihak KPT perlu menilai semula dan mula menggerakkan secara serius dan besar-besaran kemahiran dan pendidikan keusahawanan di pusat pengajian tinggi.

Kalau kita bertanya kepada pelajar IPTA apa yang mereka faham tentang konsep dan idea keusahawanan, rata-rata akan memberikan jawapan yang agak ketinggalan. Mereka memahami keusahawanan sebagai aktiviti menjalankan perniagaan. Maka tidak hairanlah apabila persatuan pelajar menjalankan perniagaan secara kecilan untuk memenuhi maksud dan tujuan keusahawanan tersebut.

Mereka biasanya menjalankan perniagaan seperti menjadi ejen perkhidmatan tambah nilai prabayar telefon bimbit, penjualan cenderahati, menjalankan program motivasi di sekolah, berniaga semasa hari keluarga kolej kediaman atau semasa pesta konvokesyen universiti.

Jika yang lebih berminat untuk berniaga, ada yang menjadi orang tengah untuk membuat t-shirt program untuk rakan-rakan kampus. Itulah sifat atau bentuk keusahawanan yang ada di IPTA sekarang. Semua pelajar nampaknya memahami itulah aktiviti keusahawanan. Pada mereka ilmu keusahawanan adalah perniagaan jual beli barang atau perkhidmatan. Tidak lebih daripada itu.

Sebenarnya pelajar (juga pegawai Hal Ehwal Pelajar dan pensyarah) perlu memahami konsep keusahawanan yang lebih besar daripada itu. Jika kita meneliti lebih mendalam konsep ilmu keusahawanan di IPT, sepatutnya bermula dengan gabungan dua komponen utama iaitu kandungan pengajian dan kemahiran keusahawanan.

Sebagai contoh seorang pelajar yang belajar di dalam jurusan sejarah di universiti seharusnya mempunyai kandungan (pengajian sejarah) dan juga kemahiran keusahawanan untuk mencipta pasaran berkaitan bidang pengajiannya.

Penulis masih ingat kata-kata Mary Anne, (21 tahun) seorang siswi tahun dua pengajian Seni di Universiti College London semasa kami berbual. Antara komen beliau; "saya rasa sudah tidak masuk akal lagi untuk pihak universiti hanya menawarkan kursus pengajian tetapi tidak pula memberikan kemahiran kepada kami bagaimana untuk 'menjual' kepakaran kami selepas tamat pengajian." Saya setuju dengan pandangan beliau terutamanya dalam suasana pasaran kerja sekarang yang agak perlahan.

Universiti seharusnya perlu menggabungkan kandungan pengajian dengan kemahiran keusahawanan pada semua pelajar secara bersepadu. Bayangkan, alangkah baik jika seorang pelajar yang belajar berkaitan seni seperti teater, tarian atau muzik akhirnya akan menjadi usahawan seni. Mereka berupaya membuka galeri seni dan juga kelas seni secara tetap.

Begitu juga dengan seorang pelajar di dalam bidang geografi atau geologi, akhirnya boleh menjadi usahawan pelancongan, menjalankan perkhidmatan berkaitan alam sekitar dan sebagainya. Sepatutnya semua kursus bukan kritikal (seperti perubatan) yang ditawarkan di IPTA perlu mempunyai komponen kemahiran keusahawanan sekurang-kurang satu pertiga daripada keseluruhan silibus kursus pengajian tersebut.

Amalan sekarang ialah pihak pengurusan IPTA menerapkan kemahiran keusahawanan secara ad hoc atau atas pilihan pelajar. Pelajar akan mendaftar untuk menjadi ahli kepada kelab-kelab usahawan di bawah HEP sama ada yang dibiayai oleh pihak universiti atau kementerian dan pihak korporat.

Maka ada beberapa program seperti Techno- Entrepreneur, Program Prosper dan Usahawan Muda yang dijalankan di beberapa buah IPTA. Program ini sifatnya tidak menyeluruh, biasanya dimonopoli oleh kumpulan pelajar yang mengkhusus dalam pengajian ekonomi dan pengurusan perniagaan. Bagaimana pula dengan nasib pelajar di aliran sains sosial, pengajian Islam dan sains tulen. Mereka inilah yang sebenarnya lebih memerlukan kemahiran usahawan berbanding dengan kumpulan pelajar yang pertama.

Kemahiran asas keusahawanan yang ingin dibangunkan kepada mahasiswa perlu memenuhi konsep 3C iaitu Competitiveness, Creativity dan Communication. Semasa berada di Universiti Oxford, penulis perhatikan pelajar akan memperoleh kemahiran ini bukan melalui program ko-kurikulum tetapi dalam kursus pengajian mereka.

Melalui konsep tutorial perorangan secara mingguan (ini adalah keistimewaan Universiti Oxford dan Universiti Cambridge kerana masih mengekalkan amalan tutorial seorang pensyarah dengan seorang pelajar) pelajar dididik tentang budaya Competitiveness, Creativity dan Communication ini. Di sana idea tentang keusahawanan bukan berkaitan hanya ilmu jual beli barangan sahaja tetapi yang jauh lebih penting ialah membina budaya 3C sejak tahun pertama hinggalah tamat pengajian bersepadu di dalam kursus.

Sudah sampai masanya kurikulum kursus bukan kritikal IPTA disepadukan dengan ilmu keusahawanan. Pengajaran dan pembelajaran di dalam dewan kuliah juga perlu memasukkan komponen perkembangan serta isu semasa berkaitan pasaran yang berkaitan bidang pengajian. Ilmu yang diperoleh di dalam dewan kuliah tidak lagi boleh bersifat statik dan diulang-ulang pada setiap sesi pengajian.
Penulis ialah Timbalan Pengarah (Akademik Kolej), Pusat Pembangunan Pelajar, Universiti Kebangsaan Malaysia.




http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1126&sec=Rencana&pg=re_02.htm

ARTIKEL 2

"HARI INI KITA TOLONG ORANG, ESOK ORANG TOLONG KITA"


MENYEBUT nama tokoh yang seorang ini pastinya ramai yang mengenali beliau sebagai seorang usahawan Melayu yang sangat berjaya. Kejayaan dan kekayaan beliau ini adalah hasil dari titik peluh sendiri. Ini kerana beliau telah menceburi bidang perniagaan sejak umur belasan tahun lagi.

Hasil kejayaan beliau sekarang banyak didorong oleh semangat untuk memajukan agama, bangsa dan negara. Ini satu usaha murni yang semakin terhakis dalam diri masyarakat. Beliau yang dimaksudkan ialah Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.

Memang setiap kali bercerita tentang beliau, kita semua tidak boleh mengelak dari berbicara tentang kekayaan yang dimilikinya. Selain itu kehebatan beliau menguruskan pelbagai cabang perniagaan di dalam dan luar negara juga sentiasa meniti bibir orang ramai.

Kenapa beliau sering menjadi tumpuan walaupun terdapat ramai lagi usahawan berjaya di Malaysia? Jawapannya kerana beliau merupakan satu-satunya orang Melayu yang berjaya menduduki senarai 10 orang bilionair di Malaysia, satu kedudukan yang pastinya sangat membanggakan kita semua sebagai orang Melayu.

Menduduki tempat kelapan senarai orang terkaya Malaysia dengan wang tunai dan aset sebanyak AS$1.8 bilion (RM6.5 bilion) pastinya setiap berita dan pergerakan beliau ini akan menjadi perhatian. Namun bagi beliau kekayaan dan kejayaan yang diperoleh bukanlah sesuatu untuk dibanggakan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk.

Beliau lebih gemar mengelak dari menjadi perhatian media, tidak mahu terlalu menonjolkan diri malah senantiasa merendah diri. Itulah keperibadian yang sering ditonjolkan oleh anak kelahiran Alor Setar ini.

Sikap merendah diri, kesederhanaan dan sering bersedekah kepada mereka yang memerlukan sudah sebati dalam diri lelaki berusia 58 tahun ini.

Bagi Syed Mokhtar yang juga penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2008, beliau sentiasa mengingati pesanan ibunya, Sharifah Rokiah Syed Abdullah supaya menyumbangkan separuh daripada pendapatannya bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Ujarnya, separuh daripada pendapatan pertama ketika membantu bapanya, Syed Nor Albukhary berniaga lembu sebanyak RM1,500 ketika tahun 60-an telah diserahkan kepada ibunya yang kemudian memintanya mengagihkan wang itu kepada 15 keluarga miskin di Alor Star, Kedah.

Pesanan ibu supaya separuh daripada pendapatan diberikan kepada orang kurang kemampuan telah memberikannya keinsafan.

Malah sampai sekarang, sumbangan kepada 15 keluarga tersebut terus diberikan, kalau yang meninggal dunia diganti dengan orang lain.

"Tuhan sudah memberikan segala nikmat, semuanya saya dah rasa, apa lagi yang kita mahu, maka nikmat itu perlu digunakan bagi faedah kepada orang ramai terutama pelajaran," katanya dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia tahun lalu.

Panduan

Bagi beliau, pesanan ibunya itu telah dijadikan panduan untuk beliau maju dalam perniagaan namun pada masa yang sama tidak lupa akan asal usul dirinya.

Syed Mokhtar turut menekankan bahawa kejayaan dan kekayaan yang dimiliki bukanlah untuk dirinya sendiri tetapi untuk dikongsikan dengan golongan yang kurang berkemampuan. Ini untuk memberi mereka peluang mendapat ilmu sekali gus mengubah hidup pada masa depan.

Beliau yang berasal dari sebuah keluarga Arab Hadhrami di Yemen dan hidup serba kekurangan ketika kecil telah membuktikan bahawa kemiskinan yang dilalui beliau bukanlah alasan untuk tidak berjaya dalam hidup.

Syarikat Kumpulan Albukhary yang dibangunkan beliau kini aktif dalam beberapa industri utama negara antaranya pengangkutan, logistik, utiliti, automotif, pertahanan, makanan dan perbankan Islam serta kewangan.

Sebagai langkah untuk membantu mereka yang memerlukan, Yayasan Albukhary yang ditubuhkan pada 1996 bagi melakukan kerja-kerja kebajikan kini semakin berkembang sebagai entiti amal global antaranya dengan penubuhan Muzium Kesenian Islam Malaysia dan Program Biasiswa Albukhary.
Yayasan tersebut turut berperanan sebagai sebuah badan kebajikan yang membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban.

Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya.

Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, yayasan turut membantu membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin di serata dunia supaya belajar di Malaysia.

Antara projek terbesar yang berjaya dilakukan ialah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang siap dibina pada tahun 2004. Kompleks itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.

Pihak yayasan juga sedang membina Universiti Antarabangsa Albukhary yang dijangka siap penghujung 2009 sebagai tempat pelajar-pelajar cemerlang kurang berkemampuan itu untuk menyambung pelajaran.

Hasil dari pesanan ibunya juga telah dijadikan panduan untuk beliau turut mengembangkan aktiviti kebajikan kepada masyarakat minoriti Islam yang tertindas dan miskin di luar negara dengan membawa pelajar-pelajar miskin tetapi cerdik untuk menyambung pelajaran di sini.

Setakat ini, seramai 372 orang pelajar dari 47 buah negara minoriti Islam sedang menimba ilmu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah tajaan Yayasan Albukhary.Yayasan berkenaan juga menaja umat Islam kurang berkemampuan dari segi kewangan bagi menunaikan ibadah haji serta memberikan bantuan pembinaan masjid-masjid termasuk membiayai projek membaik pulih Masjid Negara di ibu negara.

Selain itu yayasan tersebut telah berjaya menyiapkan Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam.

Mendermakan

Yayasan al-Bukhary juga pernah mendermakan sebanyak RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, sebuah pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia selain turut membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam menjayakan projek mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah.

Yayasan tersebut juga sering terlibat dalam mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.

Pengalaman Syed Mokhtar membesar tanpa pendidikan tinggi kerana latar belakang keluarga yang serba kekurangan turut mendorong beliau menubuhkan Program Tuisyen Al-Bukhary yang memberikan kelas tuisyen secara percuma. Program tuisyen itu berasaskan iltizamnya untuk melihat pelajar di luar bandar berpeluang mencapai pendidikan tinggi sekali gus membantu mengubah kehidupan.

Menurut beliau, kesempitan hidup ketika zaman kanak-kanak sehingga tidak mampu membayar yuran peperiksaan menyebabkan beliau kini berusaha membantu pelajar-pelajar kurang berkemampuan untuk mendapat peluang pelajaran.
"Saya bersekolah setakat tingkatan lima tapi tak sempat ambil peperiksaan kerana tidak mampu bayar yuran.
"Jadi, mengenangkan dulu tidak ada peluang, bila saya dapat peluang dalam perniagaan saya fikir kena beri peluang pendidikan kepada mereka yang tidak mampu," katanya.

Selain itu, yayasan tersebut turut menyumbang kepada organisasi di luar negara dalam usaha membantu umat Islam yang memerlukan. Hampir RM1 bilion telah diberikan secara langsung kepada usaha kebajikan termasuk menyertai proses membina semula kehidupan pelarian Afghanistan, bantuan mangsa gempa di Pakistan dan Iran serta mangsa bencana tsunami di Aceh, Indonesia.

Selain itu, yayasan tersebut sedang berusaha menubuhkan hospital AIDS di Uganda, membantu kanak-kanak jalanan di Afrika dan merintis program bantuan kemanusiaan bagi mangsa perang di Iraq dan Lebanon selain urut membina 12 buah masjid di serata dunia.

Dalam pada itu penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga menarik perhatian. Walaupun yayasan tersebut lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary telah menyumbang sebanyak RM1 juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana untuk menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang berkemampuan.

Bagi Syed Mokhtar, apa yang dilakukan ini semuanya bermula daripada didikan orang tuanya sendiri. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau setinggi mana pun kejayaan dicapai.

Prinsip beliau jelas, kekayaan itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Kekayaan hanya dipegangnya untuk sementara sahaja. Bagi beliau, kekayaan ini Tuhan beri kepadanya untuk membantu orang lain.
"Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri. Saya usaha sendiri.
"Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi. Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih, bolehlah kita menolong orang.
"Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain," katanya.

http://usahawanmalaysiapilihansaya.blogspot.com/2013/10/artikel-arkitel-mengenai-usahawan-atau.html







No comments:

Post a Comment