KERATAN AKHBAR IGROW
UTUSAN MALAYSIA, 15 JANUARI 2014
MELATIH MODAL INSAN
MELATIH tenaga kerja bagi sektor pertanian bukannya mudah. Memang Malaysia memiliki institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melahirkan modal insan dalam sektor itu.
Tetapi, masih terdapat ruang-ruang kosong dalam melahirkan tenaga kerja terlatih dalam bidang pertanian terutama dalam memastikan mereka itu apabila tamat pengajian bukannya makan gaji, tetapi menjadi usahawan tani yang berjaya dan seterusnya menyumbang kepada tabung makanan negara.
Kekosongan itu yang cuba diisi oleh Institut Agro Usahawan (iGROW) yang turut bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk mengadakan kerjasama erat bagi membangunkan modal insan dalam bidang pertanian.
Kerjasama pintar antara iGROW dan IPTA-IPTA tempatan itu meliputi pelbagai bidang kemahiran terutama pertanian, industri asas tani, kraf, senibina Melayu tradisional, warisan sejarah serta seni budaya.
Pelajar-pelajar IPTA akan ditempatkan di institusi berkenaan pada masa dan jadual tertentu untuk melengkapi kemahiran dan pengetahuan sebenar dalam pengajian mereka.
Menurut Pengerusi Eksekutif iGROW, Nordin Abdul Malek, kerjasama itu akan terus diperluaskan pada tahun ini dan itu terbukti apabila pihaknya turut mendapat permintaan daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk melakukan perkara yang sama.
"Sebagai perintis, kami telah memulakan kerjasama dengan politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang pertanian dan industri asas tani. Pelajar-pelajar mereka dihantar ke iGROW untuk mempelajari kemahiran berkaitan bagi memenuhi modul pengajian mereka", katanya.
Pusat latihan berkenaan menawarkan pelbagai bidang latihan kerana keunikan iGROW itu sendiri yang berkonsepkan latihan dalam komuniti ekonomi desa.
Kelebihan iGROW membangunkan program My Kampung My Future di Mukim Pulau Tiga membolehkan mereka yang menjalani latihan di situ akan turut melibatkan diri dengan penduduk kampung berkenaan yang terkenal dengan pelbagai produk usahawan desa.
"Kombinasi kemahiran dan akademik seumpama ini bukan sahaja dapat meningkatkan keupayaan serta keboleh pasaran graduan, bahkan telah menyatukan institusi berasaskan akademik (IPTA dan IPTS) dengan institusi latihan kemahiran (ILKA/ILKS). Jika ini direalisasikan dan dikembangkan ke peringkat yang lebih meluas, tidak akan wujud jurang atau perbezaan yang memisahkan antara dua institusi berkenaan," tambahnya.
Sementara itu, Pengerusia UiTM, Tan Sri Wan Zahid Mohd. Nordin ketika menjadi tetamu kepada program Agriculture Business Real Exposure (ABLE) di Kompleks Warisan iGROW, Pulau Tiga, Kampug Gajah, Perak, berkata, masyarakat negara ini seharusnya mencontohi kejayaan Korea Selatan yang memantapkan sistem pendidikan mereka dengan memberi penekanan terhadap kepentingan kombinasi kemahiran hingga mampu melahirkan modal insan yang berkualiti serta memenuhi permintaan ekonomi dunia.
"Masyarakat Korea Selatan bijak menterjemahkan idea dan pemikiran tanpa terlalu retorik atau hebat dengan penggunaan perkataan-perkataan bombastik. Namun ketinggian ilmu, kemahiran dan disiplin mereka menjadikan Korea Selatan adalah kuasa ekonomi dunia yang disegani pada hari ini." katanya pada majlis yang turut dihadiri pelajar-pelajar politeknik Jeli, UiTM Seri Iskandar, Universiti Banda Aceh dan pelatih-pelatih iGROW.
Wan Zahid turut menasihati pelajar-pelajar IPT agar mula melihat industri luar bandar sebagai sumber penjanaan ekonomi lumayan ada masa depan.
Oleh itu, beliau berpendapat bahawa kerjasama iGROW dengan IPT merupakan satu inisiatif yang dapat memberi nilai tambah kepada keboleh pasaran graduan melalui kaedah kemahiran merentasi pencapaian akademik.
Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan ketika menutup program ABLE pula berkata, projek di Mukim Pulau Tiga yang menjadi fokus iGROW sangat unik kerana mempunyai pelbagai potensi untuk diterokai oleh para pelajar sebagai sumber mengasah ilmu,pengalaman dan bakat kemahiran.
"Kepelbagaian potensi di Mukim Pulau Tiga, boleh menjadi satu dimensi baru pengajian dan latihan kemahiran berasaskan komuniti melalui inisiatif iGROW," katanya yang juga Presiden Persatuan Alumni UiTM Malaysia.
© Utusan Melayu (M) Bhd
UTUSAN MALAYSIA, 24 OKTOBER 2013
BELIA PULAU TIGA CEMERLANG
PROGRAM My Kampung My Future (MKMF) yang digerakkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berjaya melonjakkan usahawan muda di luar bandar.
Yang penting program itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh generasi muda terbabit seperti yang dibuktikan oleh belia di Mukim Pulau Tiga, Teluk Intan, Perak.
Malah Pulau Tiga telah dipilih oleh pihak kementerian sebagai antara perintis MKMF di mana sejak dimulakan tahun lalu ia telah menunjukkan pencapaian yang luar biasa. Kejayaan yang dicapai itu adalah hasil kesungguhan belia kampung itu sendiri selain sokongan pelbagai agensi kerajaan di bawah pendekatan lautan biru (NBOS).
Hasil kejayaan itu beberapa belia dari Mukim Pulau Tiga telah menerima beberapa anugerah seperti Pengusaha iGROW, Azri Zahier Azmi telah memenangi pertandingan Rural Business Challenge 2013 anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, di Putrajaya, baru-baru ini.
Begitu juga kemenangan Mohd. Fauzi Salleh, seorang pengusaha pemprosesan buah asam gelugor yang memenangi Anugerah Inovasi Pertanian, sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat negeri Perak. Dalam majlis yang sama juga, seorang lagi anak Pulau Tiga, Suhaimi Idris turut memenangi Anugerah Penternak Jaya Negeri Perak.
Seorang anak jati Pulau Tiga, Nordin Abdul Malek berkata, kunci kejayaan belia di kampung itu kerana peranan dan semangat mereka sendiri. Nordin berkata, konsep perniagaan iGROW , milik syarikat Green Hand Rich Sdn. Bhd. misalnya sangat berbeza dengan perniagaan lain di luar bandar dengan menawarkan konsep pelancongan agro dan latihan pertanian serta pembangunan desa.
Nordin yang juga Pengerusi Eksekutif iGROW berpendapat, pencapaian berkenaan menjadi inspirasi kepada belia-belia lain untuk memajukan pelbagai peluang ekonomi di Mukim Pulau Tiga.
Kepelbagaian sumber ekonomi tradisional di Pulau Tiga turut membuka peluang kepada golongan muda untuk meneroka dan mengembangkan kegiatan pertanian di Pulau Tiga.
"Selain kegiatan pertanian, terdapat juga potensi penternakan, perikanan, pemprosesan makanan dan pelancongan desa," kata Nordin. Katanya, begitu juga kegiatan warisan seperti industri kraf labu, persembahan kebudayaan dabus dan lotah serta tinggalan sejarah pemerintahan kesultanan Perak yang masih wujud di Mukim Pulau Tiga.
Pembangunan MKMF yang mendapat reaksi dan tindakan yang pantas penduduk Pulau Tiga turut menarik perhatian kerajaan Negeri Perak. Dalam lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Datuk Saarani Mohamed baru-baru ini, turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk menyokong dan membantu mengembangkan lagi kegiatan ekonomi generasi muda di Mukim Pulau Tiga.
Berdasarkan komitmen belia tersebut, MKMF akan mencapai kejayaan yang lebih cemerlang dalam tempoh yang singkat pada masa depan.
Apatah lagi jika dikongsikan sokongan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Perak. Ini boleh dijadikan model kejayaan menggalakkan golongan muda moden memajukan kampung-kampung di Malaysia.
UTUSAN MALAYSIA, 9 OKTOBER 2013
USAHAWAN KECIL TERUS DIBELA
SAARANI Mohamad (tiga dari kanan) gembira ketika melawat Nonie Khairul Bakery Frozen Food di Kampung Teluk Saga, Pulau Tiga, Kampung Gajah, Perak, semalam.
KAMPUNG GAJAH 8 Okt. - Kerajaan negeri akan terus membela usahawan kecil di negeri ini supaya mereka dapat bersaing dalam dunia perniagaan hari ini yang semakin mencabar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, golongan itu memerlukan bimbingan berterusan bagi memastikan mereka tidak ketinggalan. "Kerajaan sentiasa mengambil inisiatif membantu golongan usahawan kecil supaya mereka terus maju dan berharap taraf hidup mereka akan bertambah baik.
"Kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan untuk golongan ini seperti pinjaman tanpa faedah dan kursus-kursus perniagaan. "Kerajaan juga membantu menyediakan tempat-tempat untuk berniaga seperti warung dan kios percuma kepada peniaga yang terpilih, juga pemansuhan lesen penjaja di seluruh negeri," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan sempena program My Kampung, My Future di Kampung Pulau Tiga di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah, Ahmad Fauzi Abdullah.
Mengenai lawatan ke kawasan berkenaan, Saarani berbangga dengan penyertaan golongan belia di Pulau Tiga dalam pelbagai industri kecil seperti memproses makanan ringan, kraf labu, ternakan, perladangan dan pelbagai perniagaan lain. "Kita boleh nampak betapa bersemangatnya golongan belia di Pulau Tiga di dalam bidang industri kecil.
"Produk yang mereka hasilkan di sini akan pasaran secara meluas dan saya yakin Pulau Tiga akan menjadi antara pusat pengeluar produk tempatan yang dikenali," ujarnya.
No comments:
Post a Comment